Sabtu, 18 Januari 2014

Hari Bendang di Kampung Pida

Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) yang juga sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan soko­ngan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menganjurkan Program Hari Bendang Malaysia 2014 di Kampung Pida 3.5, Jitra, Kedah bermula 16 hingga 18 Januari ini.
Setiausaha Kehormatnya, Zahari Abu Yazid berkata, program itu sebagai satu usaha mening­katkan kerjasama antara pihak industri dan kerajaan dalam mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) di peringkat bawahan. 
“Hari Bendang Malaysia 2014 menyediakan platform yang lebih mantap kepada pihak industri padi dan beras bagi meningkatkan sumbangan kepada sektor makanan negara.
UUM 4x4 Sintok
“Program ini akan dilaksanakan di peringkat bawahan bagi memberi kesan berganda kepada kumpulan sasar terutama kepada golongan petani, peladang dan usahawan tani yang terbabit secara langsung dalam pengeluaran padi,” katanya.

Menurutnya, Hari Bendang Malaysia 2014 adalah program digerakkan golongan petani, peladang, usahawan tani dan swasta dari bawah ke atas.

“Ia bagi menggembleng semangat dan daya usaha semua yang berkepenti­ngan meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara.

“Program ini dicadang­kan dimulakan di Jelapang Padi Mada sebelum disusuli tujuh jelapang padi lain,” katanya.

Antara objektif pe­nganjuran program itu juga untuk menggembleng semua usaha kerajaan dalam sektor padi dan beras dengan lebih berkesan bagi dimanfaatkan kumpulan sasar.

Katanya, sasaran SSL beras 90 peratus atau 3.2 juta menjelang 2010 tidak tercapai kerana ­hanya memperoleh 1.642 juta metrik tan.

“Masalah utama ialah petani dan peladang majoriti lanjut usia (70 peratus) menganggap tanaman padi hanya sebagai sara diri dan kurang menguntungkan.

“Petani dan peladang terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan dalam usaha meningkatkan tahap pengeluaran padi,” katanya.

Kemudahan infrastruktur pengairan di lapan jelapang utama masih memerlukan banyak pelaburan naik taraf.

“Kekangan peruntukan kerajaan dalam mening­katkan infrastruktur pengairan sawah padi melewatkan usaha meningkatkan SSL dalam jangka panjang,” katanya. 

Sementara itu, pelbagai program menarik dianjurkan seperti pameran, demonstrasi dan jualan, sukan rakyat, forum perdana, kempen kesihatan komuniti bendang serta Anugerah Padi Negara dan Pertandingan Hasil. 

“Kami juga akan me­nganjurkan larian hari bendang, seminar dan bengkel, upacara perjanjian persefahaman antara komuniti padi dan kayuhan basikal hari bendang,” katanya.

Menurutnya, turut diadakan Agrochallenge Hari Bendang 2014 yang membabitkan beberapa aktiviti termasuk lawatan sambil belajar ke projek pertanian yang berjaya di Kedah dan Perlis.

“Lawatan secara berkonvoi kenderaan dan diiringi marshal motor besar, selain disediakan acara sampingan seperti pertandingan mencari harta karun dan kuiz pertanian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan